Dalam kehidupan seringkali kita disapa dengan rasa sedih dan kadangkala kecewa dengan keadaan sekeliling kita. Adakah kita masih mencari-cari cara hilangkan rasa sedih dan kecewa ini yang mana ianya mempengaruhi kehidupan seharian kita ?
Antaranya ialah dengan mengamalkan membaca beberapa doa kurangkan kesedihan iaitu;
Doa Untuk Hilangkan Rasa Sedih & Kurangkan Rasa Kecewa :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِوَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia”
Menurut Ustazah Asma’ Harun, dalam kita berusaha kita juga perlu berdoa dan menyerahkan urusan kita kepada Allah. Dengan izin-Nya segalanya menjadi mudah dan jalan keluar akan mula terbentang seterusnya menenangkan hati yang kecewa dan gundah gulana.
Antara Cara Nak Hilangkan rasa Sedih dan Kurangkan Kecewa :
1- Memperbanyakkan membaca al-Quran
Sebagai antara orang yang beriman kepada Allah SWT kita hendaklah sentiasa meningkatkan keimanan kepada-Nya. Selain melakukan solat wajib dan sunat antaranya ialah dengan banyakkan membaca al-Quran serta memahami maksudnya.
Jiwa yang banyak disiram dengan kebaikan akan sentiasa dirahmati Allah SWT. Semoga dengan ini dapat mengurangkan rasa kecewa seterusnya dapat membantu melawan kesedihan.
2- Berbincang dengan Rakan Taulan dan Keluarga Terdekat
Dengan meluahkan kesedihan kepada rakan baik dan juga ahli keluarga sedikit sebanyak mengurangkan beban di hati. Berkomunikasi dapat membantu untuk kembali tenang dan mengurangkan rasa sedih yang terbungkam di dalam jiwa. Namun, pilihlah rakan yang dipercayai supaya cerita-cerita yang kurang enak tidak pula muncul dikemudian hari.
3- Luahkan Perasaan di Kertas atau Buku
Bukan semua orang mempunyai sifat yang terbuka dan boleh berbicara terus dengan orang lain. Ada kalanya kita malu jika dilihat lemah dan tidak dapat mengawal emosi diri oleh orang lain. Maka, tuliskan perasaan yang terbungkam di dalam buku catatan ataupun diari.
Menangislah, tiada yang akan menghalang. Namun, jika semuanya sudah terluah bangkitlah kembali. Kuatkan diri menghadapi cabaran dan teruskan dengan hati yang lebih tenang dan reda.
Apabila kita reda dengan sesuatu yang menyebabkan kita sedih, maka Allah SWT juga akan meredai hidup kita. Ingatlah untuk setiap kesedihan pastinya akan ada yang akan buat kita menjadi lebih kuat dalam hidup.
Kesimpulan
Dalam hidup ini ada masa ketikanya susah untuk menenangkan hati sendiri. Lebih lagi jika hati sedang dalam kesedihan dan kecewa. Tetapi kita harus sentiasa percaya dengan hikmah di sebalik ujian yang Allah SWT turunkan kepada hamba-Nya.
Teguhkan hati dan selalu berdoa agar kita senantiasa diberikan kelapangan oleh Allah SWT dalam menghadapi hidup yang penuh pancaroba ini. InshaAllah amin.